Dalam usaha kerajaan meningkatkan mutu pendidikan masyarakat di negara ini, banyak sekolah baru telah dibina khususnya di kawasan luar bandar. Impian ini telah menjadi kenyataan apabila terbinanya sebuah sekolah menengah di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan Palong Timur, Segamat, Johor yang dikenali pada awalnya sebagai Sekolah Menengah (LKTP) Palong Timur.
Sekolah Menengah (LKTP) Palong Timur mula dibuka pada 1 hb Ogos 1994 dengan tenaga pengajar seramai 18 orang dan 253 orang pelajar dipindahkan dari Sekolah Menengah Palong 4, Gemas, Negeri Sembilan. Sebanyak 7 buah kelas telah dibuka untuk menampung 3 kelas tingkatan dua dan 4 kelas tingkatan satu. Pengetua sekolah ini pada masa itu ialah Tuan Hj. Ismail Bin Werdani yang telah bertungkus lumus bersama-sama kaki tangan sekolah untuk membangunkan sekolah.
Pada awal sesi persekolahan 1994/1995, jumlah pelajar telah meningkat kepada 543 orang dengan tenaga pengajar seramai 25 orang dan 4 orang kakitangan am. Sebanyak 14 buah kelas telah dibuka untuk menampung pelajar-pelajar dari tingkatan satu hingga tingkatan 4. Semoga dengan adanya sekolah ini, hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf pendidikan negara akan tercapai.